Wednesday, September 1, 2010

Ada tangan ghaib yang cuba pecahkan Indonesia & Malaysia

       

MINGGU lepas saya membincangkan satu teori mengenai strategi pecah dan perintah atau pecah dan tawan yang mungkin sedang berlaku secara sedar atau di bawah sedar dalam sistem politik tanah air sekarang.

Orang Melayu berpecah dan membenci antara satu sama lain - serta membenci kaum-kaum lain yang berada di negara ini. Kesimpulan saya ialah, jika ini terus berlaku orang Melayu akhirnya akan diketepikan, tidak dipedulikan dan terpaksa melukut di tepi gantang. (Ikuti diwww.utusan.com.my bagi membaca Cuit bertajuk Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?)
Strategi ini juga boleh dilakukan ke atas negara-negara dan antara-negara. Ia adalah satu strategi yang dilakukan oleh pihak penjajah dan kolonial beratus-ratus tahun lalu - termasuklah ke atas Tanah Melayu oleh British, oleh Sepanyol dan Amerika ke atas Filipina dan gugusan kepulauan Sulu, Israel dan Amerika di kalangan negara Arab, Pakistan dan banyak lagi.
Antara strategi yang dilakukan ialah mempengaruhi pihak pemerintah yang mempunyai sekutu lain supaya menyebelahinya. Ia harus dilakukan secara terus terang, halus atau kasar. Jika cara terus terang tidak boleh dilakukan, atau sukar, atau mustahil - maka strategi lain akan dilakukan.
Strategi itu ialah melalui pegawai-pegawainya; dan jika itu pun tidak boleh dilaksanakan ia akan terus kepada rakyat. Di zaman sekarang, NGO atau juga disebut sebagai pertubuhan bukan kerajaan ialah organisasi yang paling efektif yang boleh dipengaruhi bagi melaksanakan strategi pecah dan perintah ini.
Apakah hubungan dingin antara rakyat Indonesia ke atas Malaysia sekarang ada kaitan dengan ini semua?
Kita kaji susur galur kedua-dua negara itu dulu.
Hubungan Malaysia-Indonesia ialah hubungan tradisi. Ia telah berlangsung sejak zaman Sriwijaya pada abad ke-7. Sejarah Melayu mengisahkan asal usul raja-raja Melayu, yang dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Sriwijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem raja-raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.
Sejak itu hubungan rakyat dengan rakyat telah terjalin. Orang Malaysia dan Indonesia menyifatkan hubungan mereka sebagai hubungan serumpun. Serumpun bermakna serupa, sama atau dalam ikatan yang satu.
Orang Melayu telah berasimilasi sejak zaman-berzaman dengan keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Boyan (Bawean), Mendaling, Banjar, Minang yang menyeberang ke Tanah Melayu. Mereka hidup sebagai satu bangsa yang kemudiannya diiktiraf sebagai bangsa Melayu Malaysia atau bumiputera. Uniknya, keturunan akar Indonesia ini masih mengamalkan loghat bahasa asal sesama mereka. Koloni etnik keturunan Indonesia ini banyak tertumpu di Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.
Mereka ini kemudiannya menjadi tokoh-tokoh terpenting Malaysia dari segi ekonomi, sosial dan politik. Malah banyak juga keturunan kesultanan di Malaysia berasal susur galurnya dari tanah seberang.
Orang Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca bahasa pertuturan mereka. Bahasa itu dituturi oleh lebih 300 juta orang di rantau Nusantara ini.
Kedua-dua rakyat Malaysia-Indonesia mengamalkan agama yang sama iaitu Islam dan kebudayaannya juga hampir sama.
Pada sekitar 1980-an sehingga kini, berlaku penghijrahan beramai-ramai rakyat Indonesia ke negara ini. Ia adalah satu eksodus ekonomi yang belum pernah berlaku - apabila mereka memasuki ke negara ini secara sah atau pun tidak bagi membantu membangunkan negara ini. Orang Indonesia terkenal dengan kerja lasak mereka. Orang Indonesia digunakan untuk kerja-kerja pembinaan. Banyak bangunan besar yang berdiri hasil kemakmuran Malaysia, dilakukan oleh buruh-buruh kontrak Indonesia.
Pendek kata, hubungan dua-hala Malaysia-Indonesia tiada masalah.
Kuasa-kuasa asing melihat bahawa Malaysia-Indonesia ialah satu kuasa serumpun yang kuat. Kuasa itu boleh dilihat dalam pelbagai bentuk sama ada kuasa ketenteraan, kuasa manusia, kuasa ekonomi malah kuasa pendidikan dan budaya.
Kedua-dua negara ini mempunyai kuasa, jika mereka bersekutu.
Pada sekitar 1980-an Malaysia dan Indonesia mempunyai dua tokoh yang terlalu kuat kuasa mereka. Malah negara-negara lain di kalangan ASEAN amat menghormati kedua-dua kuasa ini.
Kedua-dua kuasa ini iaitu Dr. Mahathir-Suharto diiktiraf sebagai pengimbang kepada rantau ini.
Namun, ada pihak yang tidak senang dengan perkembangan itu. Kuasa asing melihat kedua-dua tokoh ini adalah ancaman kepada mereka atau sekutu mereka atau individu yang mahu diangkat oleh mereka. Dr. Mahathir dilihat sebagai tokoh yang amat lantang menentang Barat.
Barat amat berharap Mahathir dapat dijatuhkan, secara dalaman atau luaran, melalui tekanan-tekanan tertentu. Masanya amat bertepatan sekali apabila berlaku krisis politik Mahathir-Anwar yang memperlihatkan Anwar mendapat sokongan Barat yang terlalu kuat.
Sebagaimana yang semuanya sudah tercatat dalam sejarah, laungan reformasi telah ditiupkan oleh 'unsur-unsur' tertentu ke dalam Indonesia dan kemudiannya dibawa ke Malaysia.
NGO-NGO telah diwujudkan dan dibiayai. Ia dibiayai melalui pelbagai cara oleh pihak luar. NGO-NGO ini kemudiannya bergerak aktif membawa mesej antikerajaan dan anti-Mahathir di Malaysia dan anti-Suharto di Indonesia. Media alternatif menerusi Internet dilancarkan bagi mengasak.
Akhirnya Dr. Mahathir jatuh, begitu jugalah Suharto. Sehingga ke hari ini banyak NGO masih mendapat pembiayaan daripada pihak-pihak tertentu secara langsung dan tidak. Di Indonesia, banyak NGOnya yang mendapat bantuan kewangan daripada pihak-pihak luar. Tidak perlulah disebut siapa dan negara mana yang membiayai, tapi banyak yang dibiayai. Ada antaranya NGO keagamaan, NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya.
Dana-dana ini disalurkan atas alasan bagi membiayai latihan dan operasi organisasi itu.
NGO ini boleh dimanupulasi untuk kepentingan pembiayanya. Siapakah pembiaya ini? Tidak perlulah disebut di sini, namun pembiaya ini juga boleh masuk ke dalam sesebuah organisasi korporat melalui pembelian saham. Media-media dan beberapa stesen televisyen di Indonesia dikatakan sering melancarkan serangan ke atas Malaysia dalam isu-isu yang terlalu remeh-temeh. Apakah media mereka juga sudah dikuasai?
Isu tarian Pendet Bali dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan NGO-NGOnya sehingga membangkitkan kemarahan rakyatnya. Blog-blog yang tidak tahu siapa miliknya melancarkan serangan 'ganyang' ke atas Malaysia.
Pendemonstran, yang biasanya dibayar untuk kerja-kerja tunjuk perasaan di Indonesia melancarkan slogan Sweeping Malaysia (sapu orang Malaysia) - seakan-akan kebetulan sama bunyinya seperti "sweep the Malays" (sapu orang Melayu) semasa peristiwa 13 Mei 1969 dulu.
Benar seperti kata Setiausaha Agung Pusat Strategik Indonesia, Bagus Satriayanto dan Pensyarah Fakulti Kemanusiaan Universiti Indonesia, Dr. Yon Machmudi dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin. (Lihat Utusan Malaysia Selasa 15 Sept. muka 25)
Mereka mendakwa ada negara lain yang tidak senang melihat keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini.
Bagus tidak menolak tanggapan bahawa negara yang mendalangi rasa kebencian segelintir rakyat Indonesia terhadap Malaysia merupakan sebuah negara dari rantau Asia Tenggara sendiri.
Jadi, jelaslah jika itu ada kebenarannya, maka tidak hairanlah strategi pecah, perintah dan tawan ini merupakan satu strategi yang masih berkesan dan boleh dilaksanakan.
Adakah apa yang berlaku di Malaysia kini dan kemudiannya dengan Indonesia itu adalah sebahagian daripada perancangan besar pihak-pihak tertentu bagi menanti saat-saat apa yang disebut mereka sebagai transition atau peralihan?
Politik rakyat Malaysia sedang melalui situasi itu. Negara Malaysia juga perlu dipecahkan dengan Indonesia, supaya kuasa kedua-duanya tidak kuat dan tidak menggugat sesiapa. Mungkin, ada yang takut kuasa Malindo ini menjadi besar dan gagah.
Jika betul ada tangan ghaib, siapa agaknya?

Perang Besar boleh berlaku di Malaysia

      

GAGASAN 1Malaysia cukup menarik. Ia dapat mengelakkan 'perang besar' sebagaimana kebimbangan Mufti Perak, Tuan Guru Harrussani Zakaria walaupun malam tadi beliau tiba-tiba menukar perkataan perang kepada perkataan 'heboh', saya merasakan magnitudenya adalah sama.
'Perang besar' boleh berlaku di Malaysia jika kerajaan gagal menangani isu perkauman yang bebas diperdebatkan secara terbuka sekarang.
Kita tidak perlu bercakap mengenai tragedi 13 Mei 1969, kerana itu hanyalah konflik melibatkan kegelisahan kaum atau social unrest yang kecil sahaja. Kini kita bercakap mengenai 'perang besar' yang boleh meletus, jika keadaan gagal dikawal (oleh kerajaan).
Pelbagai pihak kini sedang membakar semangat antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia termasuklah cubaan untuk menukar Perlembagaan Malaysia sekarang kepada satu Perlembagaan yang baru.
Apakah cubaan itu dilakukan kerana pihak-pihak tertentu itu merasakan mereka sudah cukup besar kepala? Apakah cubaan itu dilakukan kerana mereka merasakan kerajaan yang ada sekarang akan tumbang dua tahun lagi?
Jika benar wujudnya dokumen seperti itu, maka benarkan andaian itu. Ini kerana mereka terlalu yakin mereka boleh memerintah kerana pegangan politik Melayu yang dibela oleh Perlembagaan lama, semakin luntur dan mulai terhakis.
Satu lakaran baru Perlembagaan Malaysia perlu ditulis cepat bagi menggantikan Perlembagaan lama yang mereka anggap lapuk sebagai persiapan seandainya mereka memerintah kelak. Mereka mahu melukis semula Perlembagaan atas nama sama-rata dan mengeluarkan istilah kontrak sosial, agama Islam - dan mungkin kedudukan raja-raja Melayu - yang bunyinya bagi mereka terlalu kolot?
Harussani yang mendedahkan kewujudan Perlembagan baru itu menjelaskan: ''Perlembagan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang."
Orang yang mempunyai idea ini cukup berbahaya. Kerajaan harus menanganinya, jika ia terbukti benar, bagi mengelakkan tercetusnya 'perang besar'. Saya, kita dan semua rakyat Malaysia terlalu takut untuk menghadapi situasi 'perang besar' itu. Tiada tempat yang boleh saya lari jika tercetusnya 'perang besar' itu. Bolehkah saya lari ke Singapura, Australia atau New Zealand? Saya tiada sesiapa di situ, apatah lagi tanah sekangkang kera.
Jika ia berlaku, maka ia akan tetap berlaku. Hanya Tuhan Yang Maha Esa sahaja yang akan menentukan nasib negara ini. Jika itu yang Dia mahukan, maka jadilah 'perang besar'.
Tapi, siapa yang akan untung jika berlaku 'perang besar' itu. Orang Melayu, Cina, India atau Pribumi lain? Sekali lagi hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahuinya.
Malaysia sebenarnya dibentuk oleh satu denominasi yang berbeza. Bukan satu, tapi membabitkan pelbagai kaum dan warna kulit serta anutan kepercayaan yang berlainan.
Sukar untuk membentuknya untuk menjadi satu denominasi yang unggul. Usaha ke arah itu sedang dilakukan melalui gagasan 1Malaysia. Mungkin akan tercapai 50 ke 100 tahun lagi, bukan semalaman sebagaimana kepercayaan kebanyakan orang sekarang?
Bangsa Amerika mengambil masa selama 250 tahun untuk melantik seorang yang berkulit hitam sebagai Presiden mereka. Tapi ada syaratnya juga. Orang berkulit hitam itu haruslah seorang yang beragama sama dengan kaum dominan kulit putih. Bolehkah Presiden Amerika seorang yang beragama Islam, misalnya? Mungkin boleh, tapi ia memerlukan 250 tahun lagi?
Kaum Arab, walau macam mana sekali pun mereka berperang mereka masih Arab - satu bahasa, satu agama mungkin sedikit berbeza dari segi aliran mazhab. Begitu juga dengan bangsa Jepun, China dan India. Walaupun mereka bergaduh sekalipun mereka masih merupakan satu denominasi yang unggul, sama warna kulit dan yang penting sama agama.
Tapi, di Malaysia ia berbeza. Melayu, Cina dan India dengan majoritinya (setakat ini masih) Melayu hidup dalam satu negara. Jika kerajaan yang dipimpin oleh majoriti itu kuat, ia hanya boleh mengharmonikan keadaan sahaja. Itu pun jika majoriti itu dapat diterima oleh sesama majoritinya yang lain.
Selama beberapa dekad ini Malaysia cukup harmoni. Melayu, Cina dan India serta Pribumi lain hidup dengan harmoni kerana majoriti yang memimpin mereka itu kuat. Namun, sejak kebelakangan ini situasinya sudah berbeza. Ada golongan mahu menangguk di air keruh setelah melihat sistem pertahanan golongan majoriti itu mulai melayu.
Masing-masing mula mahu menegakkan hak masing-masing. Mereka mahu lebih. Masing-masing mahu kelihatan mereka itu dominan. Kaum Y berkompromi dengan Kaum Z untuk menjatuhkan Kaum X bagi membolehkan, mungkin, Kaum Y menguasai negara ini. Jika Kaum Y tidak berkuasa pun mereka mahu diberi peranan yang lebih lagi.
Maka itu, pelbagai taktik halus yang cukup strategik sedang dirangka secara teliti untuk membolehkan cita-cita itu dicapai. Rakyat harus dikelirukan. Kaum X,Y dan Z harus dikelirukan. Golongan majoriti yang terkeliru itu kini tercari-cari ranting untuk berpaut. Jika mereka merasakan Kaum Y itu kuat maka majoriti yang sudah minoriti itu akan menyambarnya.
Amat malang sekali kaum majoriti yang kuat satu ketika dulu kerana keupayaannya dapat mengharmonikan X,Y,Z tadi tiba-tiba menjadi minoriti. Mereka sudah berpecah-pecah. Malah ada yang sudah berani dan terbuka mempersendakan dasar DEB yang dibuat khusus untuk kaum majoriti itu dulu!
Tapi persoalan besarnya sekarang, apakah kaum yang dikalahkan tadi akan berdiam diri? Apakah pada ketika itu situasi yang kita semua tidak mahu ia berlaku, akan berlaku?
Benar, 'perang besar' boleh berlaku di Malaysia, nauzubillah...

Jalur Gemilang Dibakar Lagi


    


JAKARTA 1 Sept. - Sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-Undang Jakarta) hari ini bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang yang terbakar sebahagiannnya itu ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.
Dalam demonstrasi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau baru-baru ini, mereka turut melontar telur dan ikan masin busuk ke dalam kawasan kedutaan besar itu selain mengotorkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia itu dengan tepung gandum dan ikan masin busuk.
Mereka membawa beberapa sepanduk yang antara lainnya ditulis “diplomasi mati suri”, “ganyang Malaysia”, “bela harga diri bangsa” serta “malingsia serumpun yang durhaka”.
Demonstrasi selama kira-kira setengah jam mulai pukul 11.05 pagi itu diawasi oleh kira-kira 60 anggota polis Indonesia.